SELAMAT DATANG KE SKANLASI (IMBAS TERJEMAH) BEASTAR KE DALAM BAHASA MELAYU!!!
Pengenalan
Ini merupakan projek solo dan pertama saya menterjemah karya manga ke dalam Bahasa Melayu. Saya boleh membaca dalam bahasa Jepun (agak tergagap sedikit kalau tak rujuk kamus) dan projek ini saya lakukan untuk memahiri bahasa itu, serta bahasa Inggeris, di samping memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam karya manga.
Selalunya, saya muat naik satu bab setiap hari, atau 2 bab dalam 3 hari, bergantung kepada kesibukan jadual. Proses penterjemahan bermula dengan menterjemah dari terjemahan Bahasa Inggeris ke Melayu, dan kemudian dibanding semula dengan salinan bahasa Jepun yang asal (jika ada). Kerja memutihkan teks, menterjemah, menaip dan membaca pruf, semuanya saya lakukan sendiri.
Rujukan saya dalam menterjemah ialah Laman Web DBP serta aplikasi kamus Jepun, Shirabe Jisho.
Laras bahasa
Laras bahasa yang digunakan dalam terjemahan ini mengambil kira faktor tatabahasa dan nuansa bahasa asal (Jepun) dan bahasa Melayu. Seboleh-bolehnya, saya cuba untuk memastikan makna dalam bahasa Jepun itu dikekalkan, atau setidaknya konteks umum dapat ditangkap dalam terjemahan. Namun begitu, bahasa Jepun mempunyai tatabahasa yang agak berbeza berbanding bahasa Melayu.
Contohnya, penggunaan gelaran hormat seperti, -kun, -chan, -san, dan -sama tidak ada dalam bahasa Melayu. Oleh itu, saya memutuskan untuk menggugurkan gelaran hormat itu dan menggunakan kata ganti diri yang sesuai dalam bahasa Melayu. Misalnya, "aku" dan "kau" digunakan jika sesama rakan lelaki rapat yang menggunakan gelaran -kun. Gelaran -san pula boleh digantikan dengan gelaran Encik/Cik, manakala gelaran -sama digantikan dengan gelaran Tuan/Puan.
Saya turut menggunakan perkataan dan ejaan tidak standard/gramatis dalam bahasa Melayu bagi mencerminkan penuturan sebenar dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang kerap menggunakan singkatan dalam perbualan mereka. Perkataan tersebut akan ditulis tebal dan condong, untuk memaklumkan kepada pembaca bahawa ia tidak standard/gramatis. Sebagai contoh:
kitorang (kita orang), korang (kau orang), diorang (dia orang), ni (ini), tu (itu), saja (sahaja/sengaja), ke (imbuhan -kah)
Kata seruan yang tidak standard seperti weh, wei dan woi juga ditulis tebal dan condong.
Singkatan seperti "dah" dan "tak", tidak ditulis tebal dan condong, kerana tercatat di dalam Kamus Dewan dan boleh dianggap gramatis.
Perkataan pinjaman asing kadangkala digunakan meskipun ada padanannya dalam bahasa Melayu. Hal ini kerana kata asing tersebut sudah digunakan secara meluas oleh penutur Melayu, ataupun padanan Melayunya bunyi agak janggal. Apabila kata pinjaman asing digunakan, perkataan itu ditulis condong. Contohnya, handphone, app dan download.
Perkataan "orang"
Dalam manga ini, semua watak ialah binatang. Namun terdapat perkataan Melayu yang sering digunakan mempunyai perkataan "orang". Contohnya seseorang, kau orang, kita orang, dia orang, salah seorang dan berseorangan. Saya memutuskan untuk menukar beberapa istilah tersebut kepada seseekor, dan salah seekor, tetapi beberapa istilah seperti kau orang, kita orang dan dia orang dikekalkan. Hal ini kerana, perkataan tersebut sudah mantap dalam perbualan seharian, dan agak janggal jika dibuang atau ditukarkan kepada istilah lain seperti kau ekor, kita ekor dan dia ekor. Kadangkala, saya terpaksa menggunakan perkataan lain seperti "bersendirian" untuk merujuk kepada perkataan "berseorangan". Sekiranya anda ada padanan dan saranan lebih baik, silalah menulis mesej ke profil saya.
Kata kesat dan makian
Meskipun genre manga ini ialah shonen (kanak-kanak lelaki) terdapat penggunaan perkataan kurang sopan seperti "sial", "tak guna", dan "celaka". Perkataan tersebut digunakan atas lesen artistik (artistic license) kerana ia bersesuaian dengan adegan atau babak dalam cerita. Oleh yang demikian, saya sarankan agar bacaan ini tidak disyorkan kepada kanak-kanak bawah umur 13 tahun. Sila gunakan budi bicara anda sendiri sebelum membaca.
Mahu menyumbang?
Saya setakat ini saya cuma ingin mencari sukarelawan yang ingin menjadi pemutih teks (text cleaner). Anda boleh melakukan kerja memutihkan teks ini mengikut bab, simpan semua fail dalam jpeg dan zipkan. Kemudian, sila hantarkan mesej ke profil saya, dan jangan lupa nyatakan nama anda, dan sertakan link untuk saya download. Saya akan paparkan nama anda dalam muka surat kredit setelah saya habis mengedit untuk bab yang anda kerjakan, sebagai penghargaan saya kepada sumbangan anda. Maaflah, saya tak ada wang untuk membalas. Semoga Tuhan membalas jasa baik anda.
Kesilapan
Jika anda ada ternampak kesilapan, sila tulis di ruangan komen bab tersebut, atau hantar mesej kepada saya, dan saya akan betulkan. Anda juga boleh hantar mesej kepada saya, sama ada dalam bahasa Melayu atau Inggeris, jika ada cadangan atau saranan.
TERIMA KASIH DAN SELAMAT MEMBACA!!! ENJOY YOUR READING!!!